Wednesday, January 26, 2011

Cerita tentang subsidi

Saya menulis pada hari ini kerana terpanggil dengan cabaran yang dikemukakan oleh Timbalan Menteri di JPM kepada negeri-negeri yang diperintah oleh PR untuk memberikan subsidi kepada kepada rakyat negeri masing-masing sekiranya bersungguh-sungguh mahu membantu rakyat.

Tidak terkait dengan politik, saya melihat perlumbaan untuk memberikan perkhidmatan yang terbaik kepada rakyat ini dari sisi positif. Walau bagaimanapun, semua janji yang ditabur seharusnya realistik dan berpijak di bumi nyata bukan cakap-cakap kosong yang jadi penyedap halwa telinga. Takut nanti apabila berkuasa, janji tak mampu ditunai rakyat akan melenting. Begitu juga cabar-mencabar perlulah berlandas dan terarah. Yang rakyat perlukan bukanlah debat atau cabar-mencabar sebaliknya penyelesaian kepada kesengsaraan mereka.

Isu subsidi merupakan satu perkara yg cukup sensitif  kepada semua pihak. Bukan setakat di Malaysia tetapi juga di mana-mana negara, baik kepada yg kaya apatah lagi kepada yang tak berharta.

Begitu panjang senarai barang yang disubsidi kerajaan merangkumi minyak, minyak masak, gas, gula, tepung, beras, dan pelbagai lagi barangan keperluan. Pentingnya subsidi ini kerana ia begitu dekat dengan perut rakyat. Apa-apa perkara besar melibatkan dasar atau hala tuju negara baik ETP, GTP, RMK-10 dan lain-lain sebenarnya bukanlah apa-apa bagi orang kebanyakkan dan  tiada kesan langsung yang begitu cepat dirasa mereka. Tetapi kenaikan harga minyak atau gula serta merta akan merabakkan poket mereka. Siapa tak marah? Berilah apa pun justifikasi, apa yang rakyat tahu adalah apa yang mereka rasa terutama bila mereka rasa terhimpit dan tercekik. Hal ini merupakan fenomena global yang berlaku di seluruh dunia. Di Mesir roti naik 5sen sudah cukup untuk menyebabkan rakyatnya merusuh.

Subsidi dalam Islam
Bagaimana pandangan islam tentang subsidi. Adakah subsidi wujud dalam sistem ekonomi Islam? Sebenarnya sistem ekonomi islam sangat berbeza dengan sistem kapitalis. Sistem kapitalis tidak pernah berhasrat membasmi kemiskinan rakyatnya. Sistem ini hanyalah mengenai peluang. Yang terbaik akan menang dan yang lemah akan tumbang. Sebaliknya sistem ekonomi Islam adalah berpandukan kepada prinsip maqasid syar’iah di mana setiap hukum dan keputusan hendaklah berpandukan kepada prioriti dan kepentingan. Mengikut susunan kepentingan hifz din (menjaga agama), nafs (jiwa), aql’ (akal), maal (harta) dan nasab (keturunan). Wajib bagi kerajaan menjaga dan melindungi kelima-lima komponen ini secara menyeluruh. Demikian juga peristiwa apabila Saidina Umar memerintahkan Huzaifah Ibn Yaman mengagihan semua harta dalam perbendaharaan negara kepada rakyat jelata sehingga tiada apa lagi yang tinggal di baitul mal. Dapat difahami bahawa prinsip ekonomi Islam adalah kekayaan rakyat jelata lebih utama daripada kantung negara. Sistem ini sebenarnya berbalik, rakyat yang kaya akan menyumbang kembali kepada negara dalam bentuk zakat dan jizyah. Sebentar kantung perbendaharaan kosong untuk rakyat, tak lama negara akan makmur kembali. Begitulah pusingan ekonomi yang dicadang Islam.

Konklusinya, apa yang kita perlukan adalah peningkatan kadar pendapatan rakyat secara menyeluruh bukannya subsidi semata-mata. Hukum alam, apabila pendapatan meningkat subsidi boleh dikurangkan. Tetapi apa yang berlaku sekarang, pendapatan tak bertambah sedangkan subsidi sedikit demi sedikit ditarik dan diselaraskan.

Yang paling terkesan sudah pastinya golongan berpendapatan rendah yang hidup di bandar. Penoreh getah dan peneroka sawit mungkin masih boleh tersenyum lebar kerana harga sawit dan getah yang agak tinggi sekarang. Harus diingat harga barangan komoditi ini bergantung kepada hukum permintaan dan penawaran. Setiap kali berlakunya kenaikan harga minyak dunia, harga getah sebagai barang pengganti khususnya dalam industri tayar akan meningkat sejajar dengan peningkatan harga minyak. Justeru, peningkatan harga minyak sebenarnya membawa manfaat terselindung kepada penoreh getah tetapi amat malang bagi pekerja berpendapatan rendah di bandar, tiada situasi yang menggembirakan mereka melainkan pendapatan mereka ditingkatkan.

Harga barang yang terlalu murah juga akan merugikan banyak pihak. Harga ikan, ayam dan beras yang murah tidak membantu meningkatkan pendapatan nelayan, penternak dan petani. Golongan lain perlu membantu mereka dengan membayar harga yang lebih tinggi untuk produk yang dijual. Kerana itu saya katakan peningkatan pendapatan rakyat ini perlu dilakukan secara drastik dan menyeluruh sebaliknya pengurangan subsidi perlu dilakukan secara beransur-ansur apabila kantung negara kembali terisi.

Justeru apa yang perlu dilakukan kerajaan adalah memanipulasi sumber yang mereka kuasai. Menaikkan gaji kakitangan awam yang berjumlah 1.2 juta akan mewujudkan kesan domino yang maha hebat kepada ekonomi. Bilangan 1.2 juta ini akan berbelanja dan peniaga-peniaga baik besar mahupun kecil pastinya akan merasai nikmat dan manfaatnya. 

Yang terus tertinggal adalah kakitangan swasta yang upahnya ditentukan oleh penawaran dan permintaan. Meningkatkan pendapatan rakyat juga harus merujuk kepada hukum ekonomi. Kalau majikan dapat mencari pekerja dengan upah RM400 sebulan, mengapa perlu dia membayar lebih. Kerajaan boleh mencelah dengan menetapkan kadar sesuatu upah tetapi harus diingat hal ini bertentangan dengan prinsip ekonomi bebas. Malaysia mungkin tidak menarik lagi kepada pelabur asing kerana kos operasi yakni upah yang begitu tinggi.  Saya tidak dapat memikirkan cara terbaik membantu mereka melainkan kerajaan menetapkan gaji minimum. Kajian terperinci dan lengkap perlu dilakukan supaya penetapan ini tidak meninggalkan kesan boomerang kepada ekonomi negara.

Peningkatan pendapatan rakyat secara menyeluruh ini akan kembali disalurkan kepada kerajaan dalam bentuk cukai dan zakat. Sedikit demi sedikit subsidi boleh dikurangkan seiring dengan pendapatan negara. Negara akan makmur dan rakyat akan sejahtera.

No comments:

Post a Comment