Saturday, January 22, 2011

Rayuan ke MRSM

Rayuan ke MRSM menjadi topik yang agak hangat di awal tahun 2011 ini. Sudah tentu sebagai sebuah institusi pendidikan yang sangat berprestij, MRSM menjadi rebutan. MRSM juga merupakan tabung emas bagi kaum Melayu dan Bumiputra. Kerana itu ramai yang menentang bila ada cadangan supaya MRSM dibuka kepada semua kaum. Saya tak bercadang untuk mengulas lanjut kerana bagi saya isu pendidikan ini lebih mendesak berbanding politik. Justeru ia menjadi tajuk utama yang akan saya kupas dan nasihat-nasihat yang mungkin berguna kepada para pelajar (mungkin ibu bapa) yang memohon ke MRSM.

Bagi saya, selain daripada faktor prestijnya, MRSM turut menjadi rebutan kerana peluang yang ditawarkannya. Pelajar lepasan MRSM mempunyai kelebihan untuk mendapat biasiswa tajaan MARA untuk melanjutkan pelajaran ke luar negara. Ramai ibu bapa yang mula risau apabila JPA bercadang untuk memansuhkan biasiswa ke luar negara bagi ijazah pertama. Dalam hal ini tentulah instutusi lain seperti MARA akan menjadi harapan ibu bapa.

Ramai yang kecewa apabila permohonan mereka untuk memasuki institusi berprestij ini gagal.http://www.mara.gov.my/web/guest/home

Termasuklah seorang anak saudara saya yang kecewa walaupun berjaya mendapat 8A dalam PMR tetapi gagal untuk mendapatkan tempat. Saya cuba hubungi seorang rakan yang agak berpengaruh untuk memohon bantuan. Mengejutkan bila beliau memberitahu bahawa adiknya sendiri gagal mendapat tempat walaupun maklumat dalaman mengatakan adik beliau telah dijanjikan tempat. Seorang lagi rakan yang lebih berpengaruh (dalam arena politik) turut gagal memastikan anak buahnya mendapat tempat. Begitulah keadaan dunia sekarang. Pengaruh dan kuasa belum tentu dapat menyelamatkan kita.

Sebenarnya banyak faktor yang menentukan berjaya atau gagal permohonan seseorang pelajar. Terlalu ramai pelajar yang mendapat keputusan cemerlang dan tempat yang ditawarkan sangat terhad. Perlu saya tegaskan bahawa kecemerlangan akademik semata-mata bukanlah satu jaminan anda akan diterima. Kecemerlangan ko-kurikulum juga turut menjadi prasyarat utama yang dipertimbangkan.

Selain itu, jantina juga memainkan peranan. Bukan ingin mendikriminasi gender tetapi begitulah hakikatnya. Persaingan di kalangan pelajar wanita sangat sengit. Ramai wanita yang cemerlang dalam pelajaran berbanding lelaki, itu tidak dinafikan. Pihak pengurusan MRSM perlu membuat keputusan yang berat bagi menyeimbangkan kedua-dua jantina ini. Justeru kemungkinan terjadi pelajar perempuan yang lebih cemerlang daripada pelajar lelaki terpaksa diketepikan kerana faktor ini adalah tidak mustahil.

Lalu bagaimana cara terbaik bagi memastikan anda mendapat tempat ke MRSM. Beberapa tahun lalu saya pernah menolong adik seorang rakan mendapat tempat ke MRSM di sebuah negeri di Pantai Timur. Saya tidak mahu mendedahkan bagaimana saya melakukannya di sini. Kerana saya sendiri akan menggunakan cara tersebut sebagai last resort.

Menggunakan pengaruh politik atau surat sokongan daripada ADUN atau Ahli Parlimen juga sebenarnya tidaklah begitu berkesan. Kecuali kalau ADUN atau MP tersebut merupakan Ahli Majlis MARA. Maka peluang anda pastinya terbuka luas.

Apa yang dapat simpulkan di sini, tidak seperti sekolah harian biasa yang dikekang oleh PPD, MRSM lebih bersifat autonomi. Pengetua mempunyai kata pemutus. Justeru nasihat terbaik saya ialah merayulah kepada pengetua MRSM tersebut. Tertakluk kepada kelayakan dan keputusan peperiksaan anda, pengetua boleh menerima anda sebagai pelajar di sekolahnya dengan budi bicara. Harus diingat kadang-kala ada juga pelajar yang ditawarkan tempat tetapi menolak, dan kekosongan berlaku di sini. Berdasarkan prinsip first come first serve. Jangan lengahkan dan jangan berputus harap. Teruskan usaha anda. Anda telah melakukan segalanya bagi mendapatkan keputusan terbaik. Sekarang anda memang berhak untuk diterima di sekolah terbaik. Tetapi sedikit lagi usaha diperlukan.

Rayuan terakhir ke MRSM akan ditutup pada 1 April ini. Justeru anda ada beberapa bulan untuk meneruskan usaha bagi merebut tempat. Untuk tempoh tersebut saya akan cuba berkongsi beberapa tips dan tricks untuk tujuan ini. Terima kasih

No comments:

Post a Comment