Sunday, January 23, 2011

Salah tanggap tentang kerja kerajaan

Pelbagai pandangan diberikan oleh pelbagai pihak tentang kerja kerajaan. Mungkin tangkapan itu ada benarnya tetapi kebanyakkannya hanyalah mitos yang ternyata salah. Justeru mari kita lihat beberapa perkara yang kerap diperkatakan.

Cable atau orang dalam 

Ramai yang terus mengabaikan temuduga kerajaan kerana prasangka bahawa panggilan temuduga merupakan wayang semata-mata sedangkan calon yang diingini telah ada. Pendapat ini ternyata salah dan meleset. Setiap calon yang hadir akan dinilai sebaiknya. 

Begitu juga dengan surat-surat sokongan. Ramai yang datang temuduga dengan menghulurkan surat-surat sokongan daripada ahli-ahli politik, YB, menteri dan lain-lain lagi. Sebenarnya untuk makluman anda surat-surat sokongan sebegini tidak membawa sebarang nilai pun kepada anda. Kadangkala surat-surat sokongan daripada orang-orang politik  terutamanya lebih memberikan keburukan berbanding kebaikan kepada seseorang calon. Ingat, penemuduga juga merupakan manusia biasa seperti anda. Perkara-perkara cable, sokongan sebegini kadangkala membuatkan rasa menyampah yang membuak-buak. Tambahan lagi kalau calon yang kononnya datang dengan cable ini langsung tidak memenuhi standard minimum yang ditetapkan. 

Pemilihan seseorang calon adalah terletak kepada pertimbangan penemuduga. Penemuduga perlu memberikan justifikasi mengapa seseorang calon dipilih. Sukar bagi seseorang penemuduga memberikan markah yang terlalu jauh berbeza dengan rakan penemuduganya yang lain. Justeru ingatlah, jangan sesekali persepsi sebegini menutup terus minat dan keinginan anda terhadap kerja kerajaan. Percayalah pintu rezeki sentiasa terbuka untuk anda asalkan ada usaha dan kesungguhan.

Kerja kerajaan mudah

Zaman kerja kerajaan mudah telah lama berlalu.  Kerap kali kini kerja kerajaan menuntut lebih komitmen daripada apa yang dapat anda bayangkan. Ramai yang terpaksa pulang lambat kadang kala hingga ke dinihari untuk menyiapkan sesuatu kerja penting yang melibatkan kepentingan negara. Seorang rakan saya di sebuah jabatan kerajaan kerap merungut katanya paling awal dia dapat pulang pada jam 8 malam, biasanya jam 10 baru dapat pulang dan kadang kala sehingga jam 4 pagi. 

Kerjaya guru juga sekarang menuntut pengorbanan yang lebih besar daripada guru-guru. Seorang guru yang merupakan rakan baik saya juga merungut mengatakan dalam sebulan dia cuma dapat rehat sehari sahaja dan hari-hari lain dia terpaksa bekerja seperti biasa termasuklah hari sabtu dan ahad. Tiada lagi masa senang lenang seperti dahulu. Jangan terperanjat kalau dikatakan di sebuah kementerian mesyuarat terpaksa diadakan seawal jam 6.30 pagi kerana kesuntukan waktu Ketua Setiausahanya. 

Zaman berubah dan tuntutan kerja juga telah berubah. Kalau anda memohon kerja kerajaan dengan harapan dan impian untuk mendapatkan kerja senang lenang, anda patut memikirkannya semula.

1 comment:

  1. wlaupun prubhan hanya ketara di ptrjya n keadaan masih sama di states, semoga lambat laun perkara yg sama berlaku di semua jbtn krjaan..insyalah

    ReplyDelete